Syair Perang Menteng



Kajian Untuk Semesta 3 Program Persuratan Melayu UKM (24 November 2006)

Pendahuluan

Peperangan di Palembang ini dinamakan bersempena nama Muntinghe yang mana disebut di dalam versi tempatan sebagai ‘Perang Menteng’. Peperangan ini berlaku pada 12 Jun 1819. Peperangan ini merupakan peperangan yang dahsyat kerana pada waktu itu jumlah askar belanda yang terkorban melebihi jumlah askar Sultan Mahmud Badarudin II. Peristiwa peperangan ini telah dijelmakan di dalam sebuah sajak yang diberi judul ‘Syair Perang Menteng’. Syair ini memerikan peristiwa peperangan yang telah berlaku di mana Belanda (di dalam syair ini menyebut Holanda) telah tewas kepada tentera Palembang. Biar pun tentera Belanda mempunyai kelengkapan senjata yang jauh lebih canggih dan memiliki jumlah tentera yang ramai, tetapi mereka telah tewas kepada kekuatan Palembang. Malahan jumlah tentera mereka yang terkorban melebihi jumlah tentera Palembang yang terkorban. Mengapa Belanda boleh tewas? Apakah rahsia kekuatan tentera Sultan Mahmud Badarudin II sehinggakan Belanda yang kuat pun berjaya mereka patahkan.

Kekalahan Belanda di Tangan Palembang

Kerajaan Palembang pada masa itu merupakan kerajaan Islam. Maka, agama yang diamalkan ialah Islam. Di dalam Islam, mempertahankan tanah air, agama, harta benda dan diri daripada dicerobohi adalah wajib. Sesiapa yang terkorban semasa mempertahankan hak-hak mereka akan mati sebagai syuhada iaitu cara mati yang paling mulia dan ganjarannya ialah akan dapat masuk ke dalam syurga. Jika dilihat di dalam peperangan Menteng ini, terdapat golongan haji iaitu golongan yang alim turut melibatkan diri di dalam peperangan ini. Di dalam Syair Perang Menteng, golongan ini dilihat sangat berani dan bersungguh-sungguh menentang Belanda tanpa rasa takut dan gentar. Ini dapat dilihat dari beberapa bait dripada Syair Perang Menteng :

“Delapanbelas harinya Sabtu
bulan Sya`ban ketika waktu
pukul empat jamnya itu
haji berzikir di pemarakan tentu

Haji ratib di pengadapan
berkampung bagai mengadap ayapan
tidaklah ada malu dan sopan
ratib berdiri berhadapan

La ilaha illa'llahu dipalukan ke kiri
kepada hati nama sanubari
datanglah opsir meriksa berdiri
haji berangkat opsirpun lari

Haji berteriak Allahu akbar
datang mengamuk tak lagi sabar
dengan tolong Tuhan Malik al-Jabbar
serdadu Menteng habislah buba

Haji berteriak sambil memandang
hai kafir marilah tandang
syurga bernaung di mata pedang
bidadari hadir dengan selendang

Di situlah haji lama terdiri
dikerubungi serdadu Holanda pencuri
lukanya tidak lagi terperi
fanalah haji lupakan diri


Di dalam syair ini digambarkan bagaimana golongan haji mempersiapkan diri untuk berjihad fi sabillillah. Mereka membaca asma (al-Malik, al-Jabbar), berzikir dan beratib dengan suara keras sampai mereka seolah-olah tak sedar ("mabuk zikir") untuk meminta perlindungan daripada Allah S.W.T dan memohon dilindungi serta dibantu oleh Allah S.W.T. Mereka menyerang tentara Belanda dan membunuh mereka satu persatu.

Tindakan mereka yang berani mati ini meyebabkan tentera Belanda berasa takut dan mereka tidak berani menyerang. Jikakalau diteliti, para haji ini berperang seolah-olah mereka hendak mati berbanding dengan tentera Belanda yang dilihat seolah-olah berperang untuk hidup dan takut kepada kematian. Tentera Belanda berperang kerana mereka hanya mengikut arahan dari pihak atasan, bukannya dengan kehendak diri sendiri. Golongan haji ini menjadi berani kerana mereka tidak kisah mempertaruhkan nyawa mereka asalkan tanah air mereka dapat dipertahankan. Sekalipun mereka mati, roh mereka akan mati syahid dan syurga adalah balasannya. Pegangan seperti inilah membarakan lagi api semangat mereka untuk terus berjuang. Selain itu, golongan haji ini juga dilihat kebal dari serangan dan memiliki kuasa sakti (karamah) lantaran amalan-amalan zikir yang dibaca oleh mereka berserta dibalut pula dengan semangat dan keberanian. Golongan haji telah menjadi salah satu penyumbang kepada kekalahan tentera Belanda terhadap angkatan Palembang.

Kedua, keadaan muka bumi di Palembang juga telah menjerat tentera Belanda. Angkatan tentera Belanda tidak begitu biasa dan tidak tahu tentang selok belok keadaan muka bumi di Palembang ini, jadi tentera Belanda tidak tahu tempat mana yang membolehkan mereka berlindung dan juga tempat mana yang tidak boleh mereka berlindung. Keadaan muka bumi di Palembang ialah ianya mengandungi banyak pulau, teluk, muara dan anak-anak sungai. Jadi, keadaan geografi yang rumit ini menjadi aset kepada askar palembang. Buktinya, kesilapan tentera Belanda melabuhkan kapal mereka telah menyebabkan mereka telah diserang secara mengejut oleh angkatan tentera Sultan Mahmud Badarudin II. Keadaan ini telah digambarkan di dalam Syair Perang Menteng;

Di Pulau Bayak kapal berhenti
orang di hutan sudah menenti
dibedil orang sahajakan nanti
serdadu Holanda banyaklah mati

Semua kapal habis larat
di Selat Jaran membuang pendarat
dibedil orang dari darat
bunyinya bagai gelombang berat


Tentera Belanda telah melabuhkan kapal-kapal mereka di kawasan yang berteluk sekitar pulau di Palembang. Mereka tidak menyedari bahawa sudah ada askar Palembang yang sedang menanti mereka. Akibatnya, ramai tentera mereka telah terbunuh kerana serangan hendap yang dilakukan ini.

Kesilapan ini telah menyebabkan ramai tentera Belanda terkorban di tangan orang-orang Palembang. Mereka tidak mengkaji dan meneliti terlebih dahulu keadaan geografi di Palembang sebelum melakukan sebarang serangan. Muntinghe selaku komander perang sepatutnya memainkan peranan dengan meyelidiki keadaan disini namun kerana kecuaiannya telah membawa malapetaka kepada tentera di bawah pimpinannya itu. Akibatnya, mereka terpaksa menanggung kekalahan yang besar.

Selain itu, Komander Muntinghe tidak mengatur dahulu strategi berperang yang baik untuk memerangi Palembang. Mereka hanya melancarkan serangan tanpa memiliki perancangan yang teratur dan strategi yang baik terlebih dahulu. Misalnya, tentera Belanda hanya melancarkan serangan melalui jalan laut sahaja. Sedangkan, mereka harus melakukan serangan dari pelbagai arah seperti mengepung palembang ataupun mengadakan serangan hendap pada waktu malam. Berbanding dengan Belanda, tentera Palembang telah melakukan beberapa perancangan awal. Tindakan yang bijak ini telah membantu mereka memenangi angkatan tentera Belanda. Seperti yang dijelaskan di dalam Syair Perang Menteng;

Seri Paduka bertitah serta
menyuruh membaiki alat senjata
benteng dan parit sekalian rata
istimewa pula loteng dan kota


Buluwarti minta kerjakan
batang-batang minta segerakan
cerucup di laut segera betulkan
rakit api baik lekaskan

Telah demikian titah Syah Alam
bekerjalah orang siang dan malam
benteng dan pari sangatlah dalam
tempat menahan kafir jang kelam


Askar-askar Palembang telah dikerah menyiapkan diri mereka sebelum menghadapi serangan daripada Belanda. Mereka diarahkan membaiki kelengkapan perang dan membina kubu-kubu serta benteng baru yang kukuh agar sistem pertahanan mereka lebih kuat. Selain itu, mereka turut menggali parit dan memasang perangkap sebagai helah untuk memerangkap tentera Belanda. Hasilnya, mereka telah berjaya menahan serangan daripada Belanda kerana kubu yang kukuh telah mereka bina tidak berjaya dibolosi oleh angkatan Belanda.

Seterusnya, kelengkapan perang yang dimiliki oleh tentera Palembang telah menjadi penyumbang besar kepada kemenangan mereka ke atas tentera Belanda. Jikalau sebelum ini, mereka berperang menggunakan senjata tradisional seperti panah, keris atau tombak tetapi kali ini askar-askar Palembang turut menggunakan senjata seperti senapang dan meriam disamping senjata-senjata tradisional tadi untuk menghadapi Belanda. Gambaran ini jelas diperihalkan di dalam bait-bait Syair Perang Menteng;

Pangeran membedil beberapa kali
perintah daripada bawah Duli
dipalu orang gendang kembali
serdadu lari berbuta-tuli

Dibalas meriam di buluwarti
dengan anggur dibalaskan pasti
bunyi bahananya bukan seperti
ra’yat Holanda beberapa yang mati


Syair perang Menteng di atas menggambarkan betapa sengitnya peperangan di antara askar Palembang dan tentera Belanda. Tembakan demi tembakan dilepaskan ke arah tentera Belanda. Ada tentera Belanda yang turut melarikan diri kerana takutkan askar Palembang. Suasana peperangan pada waktu itu sangat hingar bingar kerana bunyi meriam dan senjata dari kedua-dua belah pihak.

Bersandarkan bait-bait syair ini, jelas begitu hebat serangan yang telah diterima oleh tentera Belanda. Ramai tentera mereka telah menjadi korban diserang oleh askar Palembang dengan menggunakan senjata moden. Malahan, kapal-kapal mereka turut musnah akibat ditembak dengan meriam. Belanda terpaksa menerima tamparan ini dan telah menanggung kerugian harta, nyawa serta malu yang besar akibat daripada kekalahan ini.

Pemimpin-pemimpin perang Palembang juga merupakan pemimpin yang mempunyai semangat juang yang tinggi dan berani. Mereka ini menjadi penyumbang kepada kekalahan Belanda di mana mereka telah berjanji untuk menentang angkatan Belanda dengan sepenuh hati dan mempertaruhkan nyawa. Buktinya, kita dapat lihat di dalam Syair Perang Menteng, pemimpin-pemimpin perang Palembang ini melafazkan ikrar dan bersumpah untuk melawan Belanda di hadapan baginda Sultan sendiri ;

Bercakaplah Khatib Muhammad Saleh
menjunjung Dulu peluh meleleh
mencabut pedang sambil menoleh
Kornel Bakar yang dipilih

Bercakap Pangeran Puspawijaya
wajahnya laksana bunga raya
menjunjung Dulu Raja Yang Mulia
Pangeran Muhammad patik perdaya

Bercakap Pangeran Wirasentika
kepada perang rupanya suka
menjunjung Duli Seri Paduka
hendak mengamuk kafir celaka.


Keberanian, kesungguhan dan kehebatan pemimpin-pemimpin ini telah mempengaruhi angkatan tentera Palembang. Semangat juang tentera Palembang berkobar-kobar setelah melihat semangat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin mereka itu. Mereka turut menanam di dalam diri mereka ikrar dan sumpah sama seperti yang ditunjukkan oleh pemimpin-pemimpin mereka. Berbeza pula dengan tentera Belanda, di mana mereka tidak mendapat suntikan semangat untuk berjuang dari pemimpin mereka. Ini kerana pemimpin perang mereka iaitu Komisari Idleer Muntinghe tidak turut serta di dalam peperangan menentang Palembang tetapi hanya tahu memberi arahan dari jauh sahaja. Dengan ini, tanpa dorongan dan semangat juang mereka yang tidak setinngi tentera Palembang, tentera Belanda ini akhirnya dapat diatasi oleh askar Palembang yang jauh kental jiwa mereka dan berani untuk berjuang kerana dibakar denagn api semanagt sebagaimana yang ditunjukkan oleh pemimpin- pemimpin mereka.

Bukan itu sahaja, Sultan Mahmud Badarudin II merupakan seorang sultan yang tenang dan tidak gopoh. Semasa Muntinghe meminta untuk memberhentikan sementara peperangan diterima oleh baginda. Di dalam Syair Perang Menteng ini diceritakan mengenainya;

Menteng berkata terlalu gopoh
hendak disuruh minta tempoh
tiga hari lagi ra’yat menempuh
sedadu banyak luka dan lumpuh

Telah didengar Seri Paduka
merah padam warnanya muka
lalu bertitah dengan seketika
berilah tempoh kafir celaka


Tindakan baginda Sultan ini bukan memberi ruang kepada Muntinghe, tetapi sebenarnyaturut menguntungkan angkatan tentera Palembang sendiri. Apabila perang dihentikan sementara, secara tidak langsung tentera Palembang turut mempunyai masa untuk berehat, mengubati mereka yang cedera dan juga merancang strategi-strategi lain bagi menangani Belanda. Jadi, mereka menggunakan peluang ini dengan melakukan serangan hendap terhadap kapal perang Belanda. Perkara ini dijelaskan di dalam syair;

Titah Baginda Duli Syah Alam
kepada menteri wazir al-alam
pagi-pagi hari waktu yang kelam
bedil kapalnya supaya tenggelam


Kesimpulan


Jelaslah di sini mengapa Belanda boleh ditewaskan oleh angkatan tentera Palembang. Gabungan daripada apa yang dijelaskan di atas adalah jawapannya. Di dalam peperangan, strategi, tipu helah, semangat juang, pemimpin yang mampu memimpin tentera dan sistem pertahanan yang kuat diperlukan bagi mencapai kemenangan. Disebabkan sikap cuai dan terburu-buru Balanda di dalam kempaen mereka menyerang Palembang telah menjerat diri mereka sendiri. Mereka tidak bertindak dengan menggunakan akal fikiran tetapi sebaliknya menggunakan nafsu dan sikap terlalu tamak untuk berjaya telah menjerat mereka. Bukan itu sahaja, kerana memandang rendah kepada Palembang dan terlalu yakin mereka kuat juga menyebabkan Belanda telah tewas kepada Palembang. Belanda menganggap Palembang tidak mampu membalas serangan dan mereka mudah untuk dikuasai. Ternyata pandangan Belanda meleset sama sekali. Hasilnya, angkatan perang Belanda di bawah pimpinan Komisari Idleer Muntinghe telah pulang dengan membawa kerugian, kekalahan dan malu yang besar kerana diaibkan oleh angkatan perang Palembang yang nyata bukannya mudah untuk dihancurkan.

Oleh Mohd Arman Arifin (aRMaNiZaN)
Persuratan Melayu
Universiti Kebangsaan Malaysia
Friday, November 24, 2006, 4:45:22 AM

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

0 Response to "Syair Perang Menteng"