Proses Dan Agen Sosialisasi
Posted in
Labels:
akademik
|
Apa itu proses sosialisasi? Proses sosialisasi ialah proses mendidik dan membentuk serta membimbing anak-anak dengan pelbagai perkara seperti pengetahuan, pengalaman, cara hidup, pergaulan dan hatta cara makan sekalipun. Dalam konteks ini, anak-anak bukan sahaja membesar dengan sia-sia tetapi menjadi individu yang berguna pada masyarakat. Anak-anak bukan sahaja dijaga tetapi mereka turut dibenihkan dengan nilai-nilai kehidupan seperti agama, budaya, bahasa dan pelbagai perkara lagi. George Herbert Mead telah menjelaskan terdapatnya empat tahap dalam proses sosialisasi ini. Tahap yang tertama dipanggil sebagai tahap persiapan (Preparatory Stage), tahap yang kedua pula ialah tahap meniru (Play Stage), manakala tahap yang ketiga ialah tahap siap bertindak (Game Stage), dan tahap yang terakhir iaitu tahap keempat dalam proses sosialisasi ialah tahap penerimaan norma kolektif (Generalized Stage).
Pada tahap yang pertama atau tahap persiapan (Preparatory Stage) ini, seseorang anak akan mempersiapkan dirinya untuk mengenal dunia sosialnya, serta bagi memperolehi pemahaman tentang diri. Pada tahap ini juga anak-anak mulai melakukan kegiatan meniru meski tidak sempurna. Pada tahap ini mereka bersedia menerima apa sahaja perkara yang didedahkan kepadanya. Malah mereka akan cuba memahami perkara ini walau tidak sempurna. Sebagai contoh, anak pada waktu aini akan mengikuti sekiranya ibu mengajarnya cara makan. Biarpun cara mereka tidak sempurna misalnya makanan akan tertumpah tetapi mereka berinisiatif untuk melaksanakannya kerana mereka sudah bersedia pada tahap ini.
Tahap yang kedua iaitu tahap meniru (Play Stage) ini anak-anak dilihat sudah agak sempurna di mana mereka sudah mampu meniru sikap orang dewasa yang berada di sekitar mereka. Pada tahap ini anak-anak akan meniru perbuatan ibu bapa mereka dengan baik. Misalnya anak perempuan akan menolong ibunya mencuci pinggan selepas makan, biarpun percubaan pertama selalunya gagal tetapi mereka akan cuba melakukannya sehingg mereka berasa puas hati. Anak-anak juga akan mula sedar tentang apa yang dilakukan oleh ibunya itu dan sebab-sebabnya. Selain itu, mereka mula pandai bergaul dengan orang lain walaupun masih ada kelemahan lagi dalam tindakannya.
Seterusnya ialah tahap ketiga yang dipanggil tahap siap bertindak (Game Stage). Pada tahap ini, peniruan yang dilakukan sudah mulai berkurang dan digantikan oleh fungsi yang secara langsung dimainkan sendiri. Kemampuan untuk menempatkan diri pada kedudukan orang lain pun meningkat sehingga memungkinkan adanya kemampuan bergaul bersama-sama. Saat ini anak-anak mula sedar wujudnya tuntutan untuk membela keluarga dan bekerjasama dengan teman-temannya. Pada tahap ini juga mereka mampu berinteraksi dengan lebih banyak dan cekap berbanding dengan kedua-dua tahap yang terdahulu. Anak-anak mula berhubungan dengan teman-teman sebaya di luar rumah malah mula memahami tentang wujudnya peraturan-peraturan lain di luar keluarganya. Dengan ini, anak-anak mula menyedari bahwa ada norma-norma tertentu yang wujud di luar lingkungan keluarganya.
Tahap terakhir iaitu tahap penerimaan norma kolektif (Generalized Stage) pula, anak-anak sudah dianggap mencapai tahap dewasa. Mereka sudah mampu hidup di luar lingkungan keluarga mereka kerana sudah mampu menempatkan diri di dalam kehidupan bermasyarakat. Mereka sudah mampu berkerja sama dengan sesiapa sahaja dengan penuh keyakinan. Malah, pada tahap ini mereka lebih memahami apa yang diperlukan oleh diri sendiri. Pada tahap ini mereka sudah pun layak digelar sebagai anggota masyarakat.
Agen-agen Sosialisasi
(Keluarga)
Tahap-tahap di dalam proses sosialisasi ini sebenarnya digerakkan oleh agen-agen sosialisasi yang berperanan menjadikan proses ini sempurna. Terdapat beberapa jenis agen sosialisasi diantaranya ialah keluarga, rakan sebaya, media massa dan sekolah. Agen sosialisasi yang pertama yang ingin dibincangkan ialah keluarga. Keluarga merupakan merupakan agen sosialisasi yang terpenting kerana ianya merupakan unit asas yang sememangnya dipunyai oleh kebanyakkan individu. Malah, keluarga mampu memberikan pengaruh yang besar dalam proses sosialisasi kerana anggota keluarga adalah mereka yang paling rapat dengan anak-anak dan juga mempunyai pengaruh yang besar dalam kehidupan mereka. Keluarga ini mempunyai banyak masa bersama-sama dengan anak-anak mereka jadi, dengan masa yang banya ini mereka bereluang membentuk anak-anak.
Keluarga juga merupakan tapak penghidupan yang umum pada anak-anak. Secara tidak langsung, keluarga bertanggungjawab dalam proses pemindahan budaya terutama yang melibatkan norma dan nilai budaya. Sistem keluarga berbeza dari satu masyarakat dengan masyarakat yang lain maka dengan ini membawa pengaruh yang berbeza dalam pembentukan personaliti anak-anak dalam sesebuah keluarga.
Komponen utama dalam keluarga ialah ibu bapa. Setiap tindakan yang dilakukan oleh ibu bapa akan diperhatikan oleh anak-anak dan mereka akan cuba menirunya berdasarkan apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka seperti cara bercakap, cara bergaul, dan cara bercakap atau makan. Perlakuan ini lama-kelamaan akan dapat dikuasai oleh anak-anak dan mereka mampu melakukannya sebagaimana yang dilakukan oleh ibi bapa mereka.
Ibu bapa turut membentuk anak-anak mereka agar lebih menjadi seorang anggota masyarakat yang berbudaya. Malah, ibu bapa juga kadang-kala menggunakan kaedah hukuman dalam mendidik anak-anak kerana kadang-kadang kaedah ini agak berkesan. Misalnya orang Melayu akan merotan atau mendenda anak yang degil sebagai menyedarkan mereka yang tindakan mereka lakukan itu mendatangkan keburukan dan tidak harus diulangi.
Tindakan ini akan mempengaruhi anak-anak dimana mereka tidak akan mengulangi perkara itu kerana sudah tahu perkara ini tidak boleh dilakukan dan sebab-sebab mengapa ianya tidak boleh dilakukan. Berkemungkinan mereka juga akan lebih berdisiplin dan lebih bersedia dalam menjadi anggota msyarakat. Anak-anak yang telah disosialisasikan oleh ibu bapa ini dapat dilihat buktinya pada perubahan sikap mereka yang jikalau dulunya mereka tidak tahu apa-apa menjadi orang yang tahu, jika dulu mereka tidak suka basuh tangan tetapi sudah basuh tangan sebelum makan, jikalau dulu mereka malas hendak mandi bersabun tetapi selepas itu mereka sudah rajin mandi bersabun.
Rakan Sebaya
Walaupun pengaruh ibu bapa merupakan agen sosialisasi yang kuat, ianya akan berkurangan setelah anak-anak memasuki alam persekolahan di mana mereka mula mengenali rakan-rakan baru yang sentiasa menghabiskan masa bersama-sama. Rakan-rakan ini boleh dikelaskan sebagai anak-anak remaja yang usianya tidak jauh berbeza dan mereka ini memiliki tahap pemikiran yang sama dan biasanya sangat akrab dan saling mempengaruhi. Jika dibandingkan dengan proses sosialisasi dalam keluarga, ianya melibatkan hubungan tidak sekata kerana faktor perbezaan usia, pengalaman, dan peranan.
Namun sosialisasi dalam kelompok rakan sebaya ini anak-anak mempelajari pola interaksi dengan dengan mereka yang setara dengan diri mereka dari segi usia, pengalaman, peranan, pemikiran dan sebagainya. Dengan ini, dalam kelompok rakan sebaya ini, anak-anak dapat mempelajari sesuatu dengan lebih cepat dan berkesan kerana mereka dapat menyesuaikan apa yang dipelajari berdasarkan faktor-faktor tadi.
Anak-anak yang berada dalam kumpulan rakan sebaya lebih memberikan perhatian kepada rakan sebaya jika dibandingkan dengan keluarga mereka. Jadi, mereka akan lebih memberikan tumpuan kepada apa yang dipelajari bersama-sama dengan rakan mereka. Kadang-kala, timbul juga konflik kerana norma-norma yang mereka pelajari bertentangan dengan nilai dan norma keluarga mereka. Anak-anak pada tahap ini boleh dikatakan tidak menerima langsung apa yang cuba diajarkan oleh ibu bapa mereka kerana mereka yakin sudah mampu mengawal hidup sendiri. Misalnya ibu bapa tidak mahu anak-anak berpakaian yang pelik-pelik namun anak-anak pula mahu memakainya dengan alasasan mereka mahu mengikut trend dan rakan mereka memakainya.
Jadi, di sini dapat dilihat timbulnya pertentangan di antara nilai yang diambil dari rakan sebaya dengan nilai yang sudah ada di dalam keluarga mereka. Jadi, kemampuan rakan sebaya mempengaruhi anak-anak ini kadang-kalanya melebihi pengaruh daripada keluarga sendiri. Malah keadaan ini akan bertambah ketara apabila mereka semakin meningkat dewasa. Jadi, rakan sebaya sememangnya memberikan kesan yang sangat besar dalam proses sosialisasi anak-anak.
Pengaruh rakan sebaya ini juga turut memberi kesan kepada personaliti dan jati diri anak-anak biarpun sebelum ini mereka sudah mendapatnya dari keluarga namun ianya turut terubah apabila mereka bersama-sama dengan rakan sebaya. Sikap anak-anak yang dulunya lain, akan menjadi lain pula misalnya dahulu mereka suka ibu bapa membelikan mereka sesuatu tetapi sekarang mereka lebih cenderung memilih sendiri apa yang diinginkan bersama rakan-rakan. Mereka sudah mampu untuk hidup berdikari tanpa terlalu bergantung kepada keluarga lagi dan anak-anak turut dapat membuat keputusan untuk sebarang tindakan mereka.
by aRMaNiZaN..
Kajian Untuk Semester 1 Subjek Keluarga Dan Kekerabatan (SKAA2053) UKM (5 Oktober 2007)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Proses Dan Agen Sosialisasi"
Post a Comment