Khasiat Pohon Pegaga


Umum sedia maklum akan khasiat tumbuh-tumbuhan yang tedapat di negara kita. Salah satunya ialah pohon pegaga atau nama saintifiknya Centella asiatica. Juga dipanggil dalam bahasa Inggeris sebagai Pennywort. Pohon ini tumbuh menjalar dan kebiasannya tumbuh di kawasan yang lembap dan redup seperti di bawah rumah atau di bawah pohon yang lebih besar. Terdapat 3 jenis pohon pegaga iaitu Centella asiatica, Merremia emarginata dan Hydrocotyle. Spesies Centella asiatica adalah pegaga yang selalu kita lihat dan ia lebih dikenali kerana dapat mengubati berbagai-bagai jenis penyakit.

Pegaga mengandungi bahan aktif seperti triterpenoid glikosida (terutama asiatikosida, asid asiatik, asid madecassik, madikassosida), flavenoids (kaemferol dan quercetin), volatile oils (vallerin, camphor, cineole dan sterols tumbuhan seperti campesterol, stigmasterol, sitosterol), pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid centellik, asid isobrahmik dan asid betulik.

Di dalam masyarakat Melayu, pegaga sering digunakan sebagai ulam dimakan bersama nasi. Tumbuhan ini mempunyai nilai perubatan tradisi yang tinggi. Ia boleh digunakan untuk mengubati sakit kepala (pening), sengal-sengal (rheumatism), sakit mata, demam kepialu (typhoid), mencantikkan kulit serta boleh dijadikan sebagai tonik. Bahagian tumbuhan ini yang boleh digunakan untuk tujuan perubatan tradisional ialah daun dan akarnya.

Bagi mengubati sakit kepala (pening), daun pegaga perlu direbus dengan kacang hijau dan dibiarkan semalaman dalam keadaan yang terdedah. Kemudian daun pegaga itu dimakan bersama kacang hijau dan air rebusan tersebut pula haruslah diminum. Dalam pada itu, daun pegaga juga dikatakan mampu untuk mengubati penyakit sengal-sengal badan. Bagi mengubati penyakit ini, daun pegaga hendaklah direbus dengan bawang dan air rebusan itu haruslah diminum. Bagi mengubati sakit mata pula, daun pegaga direbus dan air rebusan itu diminum setelah dicampurkan sedikit dengan gula.

Di samping itu, bagi mengubati penyakit demam kepialu atau typhoid, daun pegaga haruslah ditumbuk lumat dan diletakkan di atas dahi. Bagi mencantikkan kulit pula daun pegaga yang mengandungi kandungan protein yang tinggi hendaklah dihancurkan sehingga lumat dan disapukan ke bahagian kulit yang berkenaan.

Selain mengubati penyakit, pegaga juga boleh dijadikan tonik. Bagi menghasilkan tonik daripada pegaga ini, bahagian tumbuhan ini yang digunakan ialah akarnya. Akar pegaga perlu diekstrak dengan direbus dan ia boleh menjadi tonik yang amat berkhasiat.

Selain daripada penggunaan secara tradisi, kajian saintifik juga ada menunjukkan bahawa daun pegaga mempunyai nilai perubatan moden. Kajian menunjukkan bahawa tablet yang dibuat daripada daun pegaga dapat mengubati penyakit terencat akal (lembab) di kalangan kanak-kanak. Ini dapat dilakukan dengan pemakanan tablet yang dibuat daripada pegaga secara berterusan selama 12 minggu. Hasil yang diperolehi daripada pemakanan tablet ini ialah kanak-kanak tersebut telah menunjukkan kesan untuk pulih sepenuhnya. Selain itu, ahli-ahli sains juga telah berjaya mengasingkan dua jenis bahan kimia daripada daun pegaga iaitu asid madasiatic dan asid brahmic.

Sumber thanks to Qieys’s Weblog dan KHAIRUL AZAR BIN OMAR (UKM)


Video thanks to MegaGurudeva & You Tube
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

0 Response to "Khasiat Pohon Pegaga"