Monolog 1



Malam ini cuaca sejuk sekali. Angin dingin menyerbu masuk melalui tingkap yang terkuak luas. Kesejukan ini menyengat kulit yang membalut tubuh. Ditambah pula dengan hujan renyai-renyai yang menembak permukaan bumi sejak tadi menurunkan lagi suhu pada malam itu. Aku sukakan kedinginan. Kedinginan mampu menyapu keresahan. Membekukan kegusaran dalam jiwa. Jalan di hadapan tingkap bilik aku masih sibuk dengan kereta dan motosikal yang lalu-lalang. Aku terfikir, ke manakah agaknya destinasi mereka? Aku kadang-kala sakit kepala adakah semua mereka yang lalu-lalang ini mempunyai destinasi? Atau sekadar ingin menghabiskan petrol? Lagipun sekarang harga petrol kan mahal, baik amalkan gaya hidup berjimat macam aku yang terperap sahaja di bilik. Tapi aku pasti, mereka bukannya bermain tetapi ada destinasi dan tujuan mereka untuk ditujui. Tidak seperti aku yang hanya melangut-langut di tingkap tanpa hala seperti lalat ditiup angin. Susahlah terbang tidak lurus, bila sahaja ada angin yang kuat akan dibawa pula oleh angin itu.

Sedang khusyuk aku merenung jalan di hadapan tingkap bilik aku, seekor serangga masuk ke dalam bilik aku. Warnanya hitam berkilat. Aku tidak pasti spesis apakah ia. Mungkin berbisa atau tidak? Biarlah. Sikap ambil mudah aku yang malas berfikir. Aku fikir serangga ini tertarik dengan cahaya lampu bilik aku. Mungkin juga hujan yang turun telah merosakkan sarangnya lalu ia mencari tempat yang sesuai untuk membina sarang baru. Nampaknya, bantal tidur aku yang berpeta menjadi sasarannya. Aku membiarkan saja serangga ini leka lalu aku semburkan dengan racun serangga. Mati akhirnya. Aku tiba-tiba terfikir serangga ini memiliki persamaan dengan manusia. Aku rasakan serangga ini sama seperti remaja kita sekarang. Mudah tertarik kepada sesuatu yang baru, sesuatu asing di dalam dunia mereka yang mereka tidak pernah jumpa. Seperti serangga yang tertarik kepada cahaya lampu bilikku, begitulah remaja tertarik kepada benda yang baru yang mereka tidak ketahui asal-usulnya. Bezanya, remaja bukan minat pada lampu macam serangga ini tetapi lebih tertarik kepada ‘cahaya lampu’ seperti hiburan, maksiat, dan apa-apa saja yang dating dari negara barat yang mahu menjajah dan mendominasikan negara lain dengan ideologi dan budaya mereka. Mereka menjadikan remaja di negara lemah sebagai ‘medium’ penyebaran propaganda mereka. Seperti serangga yang tidak tahu bahaya semasa masuk ke bilik aku iaitu disembur racun, begitulah persamaan dengan remaja yang tidak tahu jerat-jerat yang dipasang untuk mereka dengan berumpankan kepuasan dan keseronokan semata-mata.

Lamunan aku dipecahkan oleh ketukan pintu bilik aku yang bertalu-talu. Ah, rupanya kawan aku, Muzman mahu meminjam motorsikal. Tanpa banyak soal terus aku berikan kunci dan helmet ku kepadanya. Tidak kisah harga petrol mahal, walau dia pasti tidak mengisi petrol sebagaimana kawan-kawan aku yang lain. Aku ikhlas meminjamkan motorsikal aku. Cuma aku pelik kerana sebelum ini dia tidak pernah datang ke bilik aku. Kalau pun terjumpa, sekadar angguk-angguk saja. Aku ingat masa motor aku kehabisan minyak dekat Hentian Kajang dan kebetulan dia lalu, langsung tidak ditawarkannya pertolongan. Seolah-olah dia tidak kenal aku dengan aksi dummy nya. Tetapi, malam ini lain pulak. Begitulah manusia, aku senyum sendirian. Bila senang, lupa kepada kesusahan. Bila dah hidup senang lupa asal usul, lupa daratan, lupa yang kita semua asal dari tanah dan semestinya kembali kepada tanah. Setelah susah baru dan mencari kesenangan, baru nak insaf, baru nak sedar. Itu pun ada lagi yang tak sedar-sedar dan ada juga yang bila senang balik terus lupa saat kesusahan mereka. Macam burung di angkasa, bila terbang tidak teringin pun memandang ke bawah. Tetapi bila dah lapar, tahu pulak terbongkok-bongkok mengintai ikan di dalam sungai. Manusia macam burung kan?

Aku kuakkan lagi tingkap bilik aku. Membiarkan angin dingin meyerbu masuk berebut-rebut dengan si vampire yang berdengung dahagakan darah agaknya. Seekor-dua nyamuk ini ketik badan aku yang tidak berbaju. Kenapalah nak gigit aku. Mungkin darah aku ini sudah lama diidam mereka. Mengikut kajian sains pun, didapati darah lelaki lebih pekat dari darah wanita. Aku pun tak pasti tetapi itulah yang aku baca dalam internet. Tapi, orang tua-tua pernah berkata darah kaum hawa ni lebih manis. Tak tahulah aku apa maksudnya. Aku nyalakan rokok jenama Winston, asapnya aku sedut dalam-dalam dan aku hembuskan agar nyamuk-nyamuk itu pening seperti aku. Aku terpandang ayat AMARAN KERAJAAN MALAYSIA ; MEROKOK AKAN MEMBAHAYAKAN KESIHATAN. Timbul juga rasa gerun menatap kotak rokok sekarang kerana terpapar gambar-gambar mangsa kesan dari rokok ini. Namun, bila fikirkan ia dapat hilangkan serabut, makin kuat aku menyedut asap yang bernikotina ini. Manusia macam aku memang degil. Suka mencari penyakit. Biarpun ramai yang sudah menjadi mangsa bahaya rokok ini tapi masih tidak dipedulikan lagi. Paling menghairankan, walau makin naik harga rokok itu, ia tetap makin laris dan makin banyak jenama rokok baru dipasaran yang rata-rata aku dah cuba menyedutnya. Dari mana agaknya mereka datang? Macam mana agaknya mereka datang? Walaupun kerajaan telah melancarkan macam-macam kempen anti merokok tetapi semuanya bagai mencurah air di daun keladi. Langsung tidak mendatangkan kesan.

Aku capai akhbar KOSMO! untuk menghilangkan perasaan bosan yang mula menjalar dalam fikiran aku. Sehelai demi sehelai aku selak akbar ini dan perhatian aku tertarik dengan satu berita bertajuk ‘Bakal Pengantin Maut Digilis Lori’. Berita perempuan meninggal sebelum sempat diijabkabulkan. Sungguh menyedihkan jika kita berada ditempat keluarga mangsa ini. Termasuk dengan berita ini dah beratus-ratus berita kemalangan dah kita baca dalam tahun ini sahaja. Itu belum dikira dengan tahun-tahun sudah. Bilakah agaknya benda-benda ni akan berakhir. Aku kadang-kadang terfikir juga kenapa boleh terjadinya kemalangan. Adakah kerana kecuian si pemandu, mungkin pemandu itu sedang leka memikir masalah hingga tidak menumpukan perhatian, atau kerana struktur jalan negara kita yang membahayakan, mungkin juga faktor cuaca atau dan memang takdir. Tetapi aku rasa kita tidak sepatutnya salahkan takdir semata-mata. Perlu ada kajian terperinci dan langkah untuk mengatasi masalah ini. Takkan kita nak jadikan berita kemalangan macam satu acara harian ataupun satu berita yang melengkapkan ruangan dalam akhbar. Entahlah!

‘Tang, tang!’ Aku jengah ke luar tingkap. Aku rasa aku terdengar ada objek yang jatuh. Rupanya si Hassan, budak bilik atas mencampakkan sesuatu. Aku lihat satu tin minuman bergas baru saja dicampak dari atas. Menambahkan lagi bilangan tin yang sudah berlonggok di situ. Kebetulan bilik aku terletak di paras paling bawah sekali, maka aku harus menerima takdir yang bilik aku ini seolah-olah berlokasi di tepi tong sampah. Tin minuman, plastik, straw, plastik cekedis, dan macam-macam spesis sampah lagi sudah bertimbun. Makin hari makin banyak. Ini baru tepi tingkap bilik aku, tidak kira di tempat lain lagi. Aku tidak tahu berapa juta tan setahun sampah dihasilkan di negara ini saja. Kalau dicampur tambah sampah seluruh dunia, aku rasa cukup sebesar bulan atau besar lagi kot. Mujurlah sekarang sudah diperkenalkan kempen kitar semula oleh kerajaan. Siap ada rancangan tv, beserta laman web lagi. Seperti ketidakpastian aku kepada jumlah sampah sarap yang dihasilkan di negara kita, begitulah juga ketidakpastian aku terhadap sambutan kempen ini. Cuma sesekali pernah aku jengah tong-tong merah, kuning, jingga ini namun yang aku lihat hanyalah kosong, ada juga yang menakung air hujan dan menjadi sarang nyamuk. Entah apa lagi yang ada di dalam tong-tong itu. Paling banyak aku lihat, semua tong-tong ini dipenuhi sampah sarap yangtidak sepatutnya. Aku yakin, kalau kempen ini tidak dijalankan dengan lebih sungguh-sungguh, bumi akan menjadi kotor dan semakin panas. Tidak mustahil suatu hari nanti bumi akan dilitupi sampah sarap. Itu tidak kira sampah masyarakat lagi.

Sayup-sayup aku kedengaran di bilik sebelah alunan suara zikit munajat yang merekahkan kesunyian malam. Alunan zikir oleh Ustaz Akil Hay ini benar-benar menusuk hati, mendamaikan jiwa. Ketenangan yang aku rasai ini seolah-olah aku berada di dalam pelukan ibuku. Sungguh tenang, menyejukkan hati yang keresahan. Aku lalu menukarkan lagu di komputerku dan memainkan zikir munajat yang sama. Sesungguhnya ketenangan bukanlah sesuatu yang boleh dibeli. Bagi aku, ketenangan adalah apabila kita menjamu hati kita dengan bacaan al-Quran dan zikir-zikir memuji kebesaran Yang Maha Esa. Aku cukup hairan bila ada sesetengah insan yang bergelar manusia mencari ketenangan dengan mengunjungi pusat-pusat hiburan, kelab malam, dan melaukan perkara yang tidak sepatutnya. Mengikut agama dan nilai adat pun pergi ke tempat sebegitu tidak elok sebenarnya. Aku tidak faham dari sudut mana ianya mampu memberikan ketenangan.

Aku tiba-tiba teringat keluarga aku di kampung halaman. Sedang buat apakah ibuku, dah tidurkah adik bongsuku, tengah merengekkah anak saudaraku? Tapi, melihat waktu sekarang aku pasti mereka yang disayangi sedang lena dibungkus kedinginan malam. Aku merindui masakan ibuku yang seringkali membuka selera aku. Sambal ikan bilis campur petai, sambal ikan campur mangga muda membuatkan perutku yang sememangnya kosong merayu-rayu sayu minta dipadatkan. Aku terfikir tentu ibuku sedang tidur dalam kepenatan selepas seharian berhempas bekerja mahu menyara keluargaku. Ayah aku sudah tiada. Aku masih lagi terbayang wajah tenang jenazah ayahku semasa aku membantu menyempurnakan jenazah lelaki yang selama ini menjadi kekuatan keluarga aku, tempat berlindung. Menjadi tali kami sekeluarga bergantung kasih dan semangat. Aku juga tidak dapat bayangkan kesedihan ibuku setelah berpisah dengan lelaki yang hidup bersamanya selama tiga puluh tahun, tetapi pergi meninggalkannya tidak sampai tiga minit. Di depan ibuku dan adik bongsuku, ayah aku menghembuskan nafas terakhir. Sekarang, ibuku hanya mengharapkan anak lelaki tunggalnya untuk menggantikan arwah suaminya itu. Biarpun dia tahu anaknya tidak mampu, tetapi keyakinan dan sokongan kasih sayangnya membakar keazaman di dalam diri anaknya ini. Aku harap, impian ibu dan ayahku akan tercapai. Aku dengan hati yang ikhlas rela menerima tanggungjawab berat ini. Aku faham, inilah tugas dan tanggungjawab anak-anak untuk ibu bapa mereka.

Jam sudah menunjukkan pukul empat setengah pagi. Jalan raya di hadapan tingkap bilik aku sudah lengang. Yang kedengaran hanya bunyi cengkerik dan alunan zikir dari komputerku yang sengaja aku biarkan terpasang. Saat ini aku lihat seolah-olah alam dimatikan, dibekukan oleh kegelapan malam. Waktu ini, aku merasakan tiupan angin dari tingkap bilikku semakin dingin. Aku rasa cukup tenang. Tenang solah-olah fikiranku kosong dari bebanan dan masalah yang selama ini merantai jiwaku. Aku tutup tingkapku sekaligus mematikan kedinginan dan menerjah masuk. Aku tinggalkan komputerku lalu aku ke bilik air dan mengambil wuduk. Aku hamparkan sejadah menghadap kiblat. Aku mahu mencari ketenangan. Bermunajat, memohom keampunan, mengabdikan diri kepada Yang Maha Agung. Moga dibersihkan jiwa yang kusut, dibersihkan hati yang kotor, roh yang dahagakan ketenangan. Ketenangan dan kedamaian yang hakiki hanyalah dari Nya.

Property of
Mohd Arman Arifin (aRMaNiZaN)
  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS
Read Comments

0 Response to "Monolog 1"