Orang Minyak Mengamuk Lagi!!!!
Posted in
Labels:
karya sastera
|
Gila! Mengamuk lagi. Kali ini amukannya lebih ganas, lebih menakutkan, lebih mengerikan. Bukan seorang dua yang menjadi mangsanya tapi makin ramai. Kali ini dia tidak mamilih mangsa. Bukan saja yang muda, malah kanak-kanak, orang tua pun terkena sama. Orang makin takut nak keluar rumah tapi apakan daya, nak tak nak mereka terpaksa juga tempuhinya. Biarpun terpaksa bertarung dengan perasaan takut mereka perlu keluar untuk menjalankan kehidupan mereka. Mereka keluar pun dengan perut kecut bimbang kalau-kalau tertangkap dek bahang amukan ini. Mereka bertawakkal.
Tahun lepas dia dah mengamuk. Tahun lepas adalah dua tiga kali dia mengamuk tapi tidak lah ramai yang menjadi mangsanya. Tetapi tahun ini, amukannya semakin kuat dan semakin ramai menjadi mangsanya. Sejak sepuluh tahun yang lalu, jumlah mangsanya terus meningkat. Dia tidak pilih mangsa. Bahkan semua orang pasti kena. Sesiapa yang keluar mesti akan dicederakan olehnya. Diganasi oleh kerakusannya merobek mangsanya. Memang ngeri bila mendengar bagaimana mangsanya diratah, digomol dengan rakusnya. Sesiapa yang menjadi mangsanya tak akan senang hidupnya. Mereka akan dibayangi igauan dan trauma terhadap apa yang dia lakukan.
Sesiapa pun akan terbayang bagaimana urat-urat perut dicabut didepan mata. Usus, jantung, hati, limpa akan dirobek keluar oleh dia. Dengan berselera dia menelan kesemua organ-organ badan kita yang merupakan alat untuk kita meneruskan hidup. Sungguhpun organ-organ ini mampu diganti tetapi kesedihan, kesengsaraan dan penderitaan bila organ-organ ini dirobek keluar tidak dapat dipadam di dalam ingatan. Selepas kenyang dengan ‘makanannya’, dia akan tinggalkan sedikit palitan minyak di badan mangsa. Tidak berbaloi berbanding mangsanya yang kehilangan organ dalaman yang penting dengan palitan minyak itu. Tetapi, walaupun setiap tahun jumlah mangsanya meningkat, palitan minyaknya semakin sedikit. Barangkali bisa minyaknya sudah nak habis. Mungkin ilmunya sudak tidak ampuh lagi.
Orang minyak yang berminyak! Dialah makhluk yang ditakuti oleh orang-orang sejak sekian lama. Dari tiga empat puluh tahun yang lalu lagi dia mengamuk. Cuma tahun-tahun yang kebelakangan ini dia semakin ganas. Dia tak kira mangsa. Asal saja dapat dimakan organ mangsanya sudah mencukupi baginya. Orang ini bukanlah macam orang minyak yang mengamalkan ilmu hitam dan mencari anak dara untuk mengampuhkan ilmunya. Orang minyak ini tak pilih mangsa. Lelaki, perempuan, tua, muda semua dia sapu. Asal terserempak saja,apabila keluar dari rumah jangan harap mangsanya akan terselamat. Paling kurang mereka akan kehilangan juga organ-organ seperti hati atau limpa yang merupakan makanan favaourite dia. Tidak pernah ada yang terlepas lagi setakat ini.
Mangsa orang minyak ini walaupun tahu yang mereka akan dirobek dan diratah isi perut tetapi mereka tetep juga keluar. Bukan kerana degil, bukan keras kepala, bukan nak tunjuk lagak atau terer tapi terpaksa keluar untuk mencari rezeki dan meneruskan kehidupan. Bagi orang-orang yang susah, menjadi mangsa orang minyak ini sangatlah perit sekali. Mereka akan hidup dalam ketakutan dan sentiasa berwaspada apabila keluar. Hidup mereka boleh dikatakan tidak tenagn. Tetapi, mangsanya dari golongan atasan atau berada tidaklah merasa begitu menderita kerana mereka ada banyak organ gantian dan mereka juga mengupah pengawal peribadi untuk menjinakkan orang minyak ini. Malah, orang minyak kadang-kadang menjadi hamba mereka untuk menyerang golongan susah ini.
Aku juga tidak terkecuali dari menjadi mangsa orang minyak ini. Aku ingatkan aku akan terlepas dari cengkamannya kerana aku ini jarang-jarang keluar rumah. Cuma apabila keadaan memaksa baru aku akan keluar dari rumah. Tapi, yang pastinya aku tidak terlepas. Sungguhpun kecederaan akui tidak lah parah tapi cukup memberikan kesan. Pulak tu, bukan sekali dua, malah dah berpuluh kali aku terkena. Namun, lama-kelamaan aku akur dan rela membiarkan diri aku dihantui orang minyak ini. Bak kata pepatah ‘alah bias tegal biasa’.
Tetapi telah berlaku sesuatu yang mengejutkan diri aku. Ada manusia sanggup mencuri dan menyimpan orang minyak ini. Aku tidak tahu tapi berdasarkan cerita yang aku baca mereka mahu mengaut keuntungan dengan mengeksploitasi kelebihan dan kekuatan yang dimiliki oelh orang minyak ini. Mereka hendak gunakan orang minyak untuk kepentingan diri mereka. Demi mencapai impian mereka, mereka sanggup menggunakan orang minyak untuk menyerang mereka-mereka yang lemah agar semakin lemah. Sungguh memalukan. Sungguh tidak berperikemanusiaan.
Mujurlah sekarang sudah ada senjata yang dikatakan mampu melenyapkan keganasan orang minyak ini. Ada Panglima Solar, Pendekar Api Alternative dan Pendekar Bio Diesel. Sungguhpun nama mereka kelakar dan ganjil, mereka semua dikatakan mampu memusnahkan penguasaan orang minyak Mereka dikatan ada memiliki kuasa yang terpendam yang mampu digunakan membunuh orang minyak tetapi kuasa masih di peringkat latihan untuk menguatkan stamina dan teknikal supaya mereka menjadi hebat dan dapat neyempurnakan misi mereka. Aku tidak pasti dapatkah atau tidak pahlawan-pahlawan ini menentang kekuatan orang minyak dan memadam perasaan ngeri di dalam fikiran penduduk dunia akan kekuasaan orang minyak ini. Ini kerana aku lihat mereka semua seolah-olah tidak yakin akan kehebatan pahlawan-pahlawan ini menentang kekuasaan orang minyak. Mereka kelihatan sudah putus asa dan semakin merelakan diri mereka berterusan digomoli oleh keganasan orang minyak ini. Namun aku sokong pahlawan-pahlawan ini kerana mereka berani dan memiliki semangat yang tinggi.
Cuma aku lihat negara-negara yang maju sudah kurang penguasaan orang minyak ini. Mereka mampu mengupah pahlawan-pahlawan tadi dengan kekuatan keewangan mereka. Malah, ada negara yang melatih pahlawan sendiri untuk menghapuskan orang minyak ini. Hasilnya, mereka berjaya mengurangkan ketakutan rakyat mereka terhadap keganasan orang minyak walaupun tidak sepenuhnya. Nampaknya, mereka sedar yang keganasan orang minyak ini semestinya dihapuskan. Atau paling kurang dikawal keganasannya agar terus tidak menghantui fikiran mangsa-mangsanya.
Tetapi, di sesetengah negara yang menghasilkan orang minyak, mereka diserang oleh negara yang ingin menakluki orang minyak dan menjadikan orang minyak ini sebagai hamba abdi atau bala tentera baru mereka. Mungkin kerana perkara ini lah orang minyak mengamuk dan membalas dendam. Mereka mahu dunia merasai penderitaan ditakluki dan hidup dalam ketakutan. Jadi, mereka menyerang dan menakluki negara-negara lemah lain. Atau mungkin orang minyak ini telah digunakan oleh negara yang menakluk mereka untuk menggerunkan dan mengertak negara-negara lemah agar mereka terus lemah. Apabila mereka lemah, mudah untuk negara ini menyerang pemikiran negara lemah. Negara lemah pula, terus bergantung dan mengharapkan negara maju untuk menolong mereka. Begitu hebat sekali fungsi orang minyak ini telah dieksploitasikan.
Aku tidak pasti sampai bilakah keganasan orang minyak ini akan berakhir. Cuma aku harap walaupun sememangnya mereka tidak dapat dihapuskan, sekurang-kurangnya keganasan mereka akan dapat dikekang dan dikawal supaya mereka tidak akan senang-lenang dan sesuka hati menyerang manusia dan sesuka hati merobek, melapah menelan organ bewarna-warni yang amat bererti serta penting bagi hidup manusia. Aku harap, suatu hari nanti semuanya akan selesai atau mungkin orang minyak akan bertambah ganas. Semuanya kabur Aku cuma mampu berdoa agar mereka akan mengurangkan tekanan yang diberikan kepada kita dan mereka tidak terlalu ganas dengan kita. Harap-harap begitulah. Moga tahun depan, orang minyak tidak naik minyak.
Property of
Mohd Arman Arifin (aRMaNiZaN)
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Response to "Orang Minyak Mengamuk Lagi!!!!"
Post a Comment